Sunday, October 24, 2010

Pengawal tidur, 12 bas hangus

Oleh KHAIRI MOHAMAD
khairi.mohamad@kosmo.com.my

KOTA BHARU – Gara-gara pengawal keselamatan didakwa tertidur, 12 buah bas Ekspres Budaya milik Syarikat Transline Express Sdn. Bhd. bernilai RM2.6 juta musnah dijilat api di depot menempatkan bengkel dan tempat menyimpan bas di Panji, Pengkalan Chepa dekat sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 12 tengah malam kelmarin, kesemua bas tersebut yang disusun berdekatan di salah satu sudut di depot tersebut hangus sama sekali.
Ketua Balai Bomba Pengkalan Chepa, Saipu Bhari Mohd. Noor (gambar kecil) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada pukul 12.32 tengah malam kerana pengawal yang bertugas menjaga depot itu semasa kejadian didakwa tertidur.
Menurut Saipu, pihaknya menghantar sebuah jentera bersama lima anggota ke tempat kejadian sebelum tiba di lokasi tiga minit kemudian kerana kedudukan balai bomba dan depot bas itu hanya dalam jarak dua kilometer.

Pengajaran:
Kita mestilah bertanggungjawab dalam menjalankan tugas. Jangan kerana kelalaian kita, organisasi atau syarikat kita menanggung akibat yang buruk.

Saturday, October 23, 2010

Rozaliya, Helmi Putus Tunang

Oleh MUSTAPA LAKAWA dan SAFEE JUNUS
berita@kosmo.com.my

KEMAMAN – Krisis hubungan membabitkan bakal pengantin, Rozaliya Mat Lazim, 20, dengan tunangnya, Mohd. Helmi Mohd. Noor, 24, berakhir dengan kedua-dua keluarga bersetuju memutuskan pertunangan pasangan itu semalam.
Keputusan itu disahkan sendiri bapa Helmi, Mohd. Noor Juah, 53, selepas dia mengetuai rombongan menemui keluarga Rozaliya di Bandar Baru Cheneh dekat sini semalam.
Kosmo! Ahad difahamkan keluarga Rozaliya yang mahu pertunangan itu diputuskan.
Bagi memenuhi permintaan itu, Mohd. Noor bersama isteri, Mariani Hussin, 46, serta beberapa ahli keluarga bertandang ke rumah Rozaliya dari Pagoh, Johor semalam untuk menyelesaikan kemelut membabitkan pasangan itu.
“Kami bersetuju memutuskan pertunangan ini kerana sedar tidak lagi wujud persefahaman antara mereka (Rozaliya dan Mohd. Helmi).

Pengajaran:
Sebelum bertunang, fikir dulu kewajarannya.
Perlu membuat perbincangan jika ingin mengubah keputusan.
Jodoh adalah ketentuan Ilahi.
Kepada si Helmi, cepat-cepatlah cari bakal isteri yang lain.

Wednesday, October 20, 2010

Posting Pertamaku - Tujuan Berblog

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca blog 'Bicara Semuanya'. Segala puji dan puja dipanjatkan kepada Ilahi kerana dengan rahmat dan izin-Nya maka saya mampu untuk membuat blog dan menulis. Tujuan blog ini dibuat ialah untuk menyampaikan apa-apa sahaja yang memberi kebaikan kepada seluruh umat manusia. Sesungguhnya kita diajar melalui sabda Nabi muhammad bahawa betapa kita perlu sampaikan tentang maklumat atau ilmu yang membawa kebaikan walaupun hanya satu ayat. Jadi dengan kesempatan dan ruang teknologi yang masih ada ini, saya akan belajar menulis perkara-perkara yang memberi ilmu kepada diri saya, keluarga saya, dan juga kepada orang lain. InsyaAllah.